Terma Perkhidmatan

Funnava · Versi 6 · berkuat kuasa 9 Disember 2026

1. Siapa kami dan penerimaan terma

Funnava (funnava.my) dikendalikan oleh Renoraz Ventures Sdn. Bhd. (No. Pendaftaran 202501031023 (1632435-U)), SA/06/23A, Persiaran Plaza Azalea, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor, Malaysia ("Funnava", "Syarikat", "kami"). Terma ini ialah perjanjian yang mengikat antara anda dan Syarikat.

Anda menerima terma ini apabila anda mendaftar atau log masuk, menanda kotak persetujuan, membuat bayaran, menyertai kempen atau program, atau terus menggunakan Funnava. Jika anda tidak bersetuju, jangan gunakan Funnava.

Terma ini terpakai bersama Notis Privasi, Polisi Pemulangan Wang, Polisi Penghantaran dan Terma Kempen Klip (funnava.my/kempen-klip/terma). Bagi perkara Kempen Klip, Terma Kempen Klip diguna pakai jika ada percanggahan.

2. Takrif

  • "Pengguna" atau "anda": sesiapa yang menggunakan Funnava, termasuk peniaga, ahli pasukan, agensi, pengiklan Papan Bida, kreator, klipper dan Rakan Funnava.
  • "Perniagaan": akaun perniagaan dalam Funnava dan orang atau entiti yang diwakilinya.
  • "Agensi": perniagaan pada pakej Agensi yang menguruskan perniagaan lain ("perniagaan klien") dalam Funnava.
  • "Kandungan Pengguna": apa-apa yang anda muat naik, taip, sambung atau terbitkan melalui Funnava, termasuk gambar, video, audio, teks, logo, bahan jenama, data produk, senarai harga, data pelanggan dan lead, serta klip.
  • "Hasil AI": teks, gambar, transkrip, cadangan, suara dan kandungan lain yang dijana secara automatik oleh ciri AI Funnava.
  • "Platform Pihak Ketiga": perkhidmatan luar yang anda sambung atau gunakan melalui Funnava, contohnya Facebook, Instagram, Threads, WhatsApp, TikTok, YouTube, Google Calendar dan Telegram.

3. Kelayakan dan akaun

  • Anda mesti berumur 18 tahun ke atas dan berupaya membuat kontrak di bawah undang-undang Malaysia. Kreator dan klipper disahkan berumur 18 tahun ke atas semasa pendaftaran.
  • Jika anda menggunakan Funnava bagi pihak sebuah perniagaan, syarikat, pertubuhan atau orang lain, anda mengesahkan bahawa anda diberi kuasa untuk mengikat mereka kepada terma ini, dan mereka turut terikat.
  • Gunakan emel yang sah dan jaga akses emel anda; kod dan pautan log masuk dihantar ke emel itu. Anda bertanggungjawab atas semua aktiviti dalam akaun anda dan akaun ahli pasukan yang anda jemput. Maklumkan kami segera di hello@funnava.my jika akaun anda disalah guna.
  • Maklumat yang anda beri (nama perniagaan, butiran bank, akaun media sosial, tarikh lahir dan lain-lain) mesti benar dan terkini. Bilangan perniagaan bagi setiap pemilik dihadkan mengikut pakej, dan kredit percubaan diberi sekali sahaja bagi setiap orang.
  • Dilarang membuka akaun tambahan untuk mengelak had, penggantungan atau larangan, atau untuk mendapat kredit percubaan, komisen atau ganjaran berulang.
  • Pasukan Funnava yang diberi kuasa boleh mengakses dan mengurus akaun serta data perniagaan untuk memberi sokongan, membetulkan masalah, mencegah penyalahgunaan dan mematuhi undang-undang. Setiap akses dan tindakan direkod dalam log audit.

4. Agensi dan perniagaan klien

  • Agensi mengesahkan dan menjamin bahawa ia mempunyai kuasa dan persetujuan bertulis yang sah daripada setiap klien untuk: membuka dan mengurus perniagaan klien dalam Funnava, menyambung akaun media sosial dan akaun lain milik klien (termasuk melalui pautan jemputan klien), memuat naik dan menerbitkan kandungan klien, memproses data pelanggan klien, serta menjalankan Kempen Klip dan iklan bagi pihak klien.
  • Agensi bertanggungjawab sepenuhnya atas semua penggunaan Funnava bagi perniagaan kliennya, termasuk tindakan ahli pasukannya, dan atas perjanjian, bayaran dan pertikaian antara agensi dan kliennya. Funnava bukan pihak kepada perjanjian itu.
  • Agensi menanggung rugi Syarikat atas apa-apa tuntutan, kerugian, denda atau kos (termasuk kos guaman yang munasabah) yang timbul kerana agensi tidak mempunyai kuasa atau persetujuan klien, atau kerana kandungan atau tindakan agensi bagi pihak klien.
  • Klien yang menyambung akaun melalui pautan jemputan mengesahkan bahawa dia berhak menyambung akaun itu dan membenarkan perniagaan yang dinamakan dalam pautan itu menggunakannya melalui Funnava. Klien boleh membuang akses Funnava pada bila-bila masa di tetapan platform berkenaan.

5. Perkhidmatan, percubaan dan ciri baharu

  • Funnava ialah alat pemasaran untuk peniaga: profil perniagaan, laman funnel, Laman Bio dan Kedai Mini, blog, teks posting dan iklan, penjadualan posting ke media sosial, Studio Video dan Klip Video, ulasan pelanggan, senarai lead, Asisten AI, Setiausaha Maya, Papan Bida, Kempen Klip dan laporan. Ciri yang tersedia bergantung pada pakej anda.
  • Percubaan percuma 14 hari diberi tanpa kad. Selepas percubaan, ciri berbayar memerlukan pakej yang aktif.
  • Ciri yang dilabel baharu, ujian atau beta diberi seperti sedia ada, boleh berubah atau dihentikan, dan mungkin kurang stabil.
  • Kami boleh menambah, mengubah, mengehadkan atau menghentikan mana-mana ciri. Jika kami menghentikan ciri berbayar yang utama semasa tempoh yang telah anda bayar, kami akan memaklumkan anda dan menawarkan penyelesaian yang munasabah, contohnya kredit atau pemulangan berkadar bagi bahagian yang tidak dapat digunakan.

6. Kandungan Pengguna

  • Pemilikan: anda kekal memiliki Kandungan Pengguna anda. Funnava tidak menuntut pemilikan ke atasnya.
  • Jaminan anda: anda menjamin bahawa anda memiliki, atau mempunyai semua hak, lesen, kebenaran dan persetujuan yang diperlukan untuk, setiap Kandungan Pengguna, termasuk persetujuan setiap orang yang boleh dikenal pasti dalam gambar, video atau audio, lesen muzik dan bunyi, dan kebenaran pemilik bagi rakaman pihak ketiga (contohnya podcast, temu bual, siaran langsung atau video kreator lain yang dipotong dengan Klip Video). Kandungan itu tidak melanggar hak cipta, cap dagangan, privasi, hak imej atau hak lain sesiapa, dan tidak menyalahi undang-undang.
  • Lesen kepada Funnava: anda memberi Syarikat lesen di seluruh dunia, tidak eksklusif, bebas royalti dan boleh dilesenkan kecil kepada penyedia perkhidmatan kami, untuk mengehos, menyimpan, menyalin, memproses (termasuk pemprosesan AI, transkripsi, penukaran format dan pemampatan), mengubah saiz, memapar, menghantar dan menerbitkan Kandungan Pengguna, semata-mata untuk menyediakan dan melindungi perkhidmatan dan mengikut arahan anda, contohnya menerbitkan ke akaun yang anda sambung, laman awam anda, Papan Bida dan Kempen Klip.
  • Kami juga boleh menggunakan statistik tanpa nama dan agregat (contohnya jumlah tontonan atau klik) yang tidak mengenal pasti anda, untuk memaparkan statistik awam dan menambah baik perkhidmatan.
  • Tamat lesen: lesen ini tamat apabila anda memadam kandungan itu atau akaun anda, kecuali (a) salinan sandaran untuk tempoh terhad sehingga ia ditimpa, (b) apa yang perlu disimpan untuk undang-undang, pertikaian, siasatan atau rekod kewangan, dan (c) kandungan yang telah diterbitkan ke Platform Pihak Ketiga atau dikongsi oleh anda dengan orang lain, yang kekal di sana kerana Funnava tidak memadam posting di platform bagi pihak anda.
  • Anda bertanggungjawab membuat salinan sendiri kandungan yang penting. Funnava bukan perkhidmatan sandaran.
  • Kami tidak menyemak semua kandungan sebelum ia diterbitkan, tetapi kami boleh (tanpa kewajipan) menyemak, menyekat, menyembunyikan atau membuang mana-mana kandungan yang kami percaya melanggar terma ini, undang-undang atau dasar platform.

7. Kandungan yang dilarang

Anda tidak boleh menggunakan Funnava untuk mencipta, memuat naik, menerbit, mempromosi atau menghantar:

  • kandungan yang melanggar hak cipta, cap dagangan atau harta intelek lain, termasuk memotong atau menyiarkan semula video orang lain tanpa kebenaran;
  • kandungan yang menyalahi undang-undang Malaysia, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (antaranya seksyen 211 dan 233) dan Kod Kandungan, Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Akta Hak Cipta 1987;
  • nasihat atau tawaran pelaburan tanpa lesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, dakwaan cepat kaya atau pulangan terjamin, skim forex, kripto atau pelaburan yang tidak dilesenkan, skim piramid, skim cepat kaya atau MLM yang menipu, serta perjudian;
  • kandungan lucah atau seksual; apa-apa kandungan seksual yang melibatkan kanak-kanak adalah dilarang sama sekali, akaun akan ditamatkan serta-merta dan perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa;
  • kandungan yang menghina atau menimbulkan kebencian berkaitan kaum, agama atau institusi diraja (3R), atau yang menghasut keganasan, mengancam, membuli, mengganggu atau mendedahkan maklumat peribadi orang lain (doxxing);
  • maklumat palsu atau mengelirukan, ulasan atau testimoni palsu, iklan yang memperdaya, dakwaan kesihatan atau perubatan yang tidak disokong, harga atau diskaun palsu, dan menyamar sebagai orang, jenama atau pihak berkuasa lain;
  • spam, mesej atau panggilan tanpa persetujuan penerima, perisian hasad, pancingan data (phishing) atau pautan berbahaya.

8. Kelakuan yang dilarang

  • Menceroboh, menguji kelemahan tanpa kebenaran, mengikis (scraping) data, menyalin, menyahkompil atau membuat kejuruteraan songsang ke atas Funnava, atau memintas had, kunci, kuota atau kawalan keselamatan.
  • Membeli atau menggunakan pengikut, like, tontonan, komen, klik atau ulasan palsu, bot, ladang tontonan atau akaun palsu, termasuk di Papan Bida, Kempen Klip dan laman funnel.
  • Menyalah guna program rujukan, kempen, kredit percubaan, kod promosi atau sistem ganjaran, termasuk rujukan sendiri dan akaun berganda.
  • Mengumpul, memasukkan atau menggunakan data peribadi orang lain tanpa asas yang sah, termasuk senarai nombor telefon atau emel yang dibeli.
  • Membuat atau meminta panggilan Setiausaha Maya, mesej WhatsApp atau emel kepada orang yang belum bersetuju dihubungi.
  • Menggunakan Funnava untuk menjual semula perkhidmatan kami tanpa kebenaran bertulis, kecuali agensi yang mengurus klien sendiri seperti dibenarkan oleh pakej Agensi.

9. Ciri AI

  • Hasil AI ialah draf. Ia boleh tidak tepat, tidak lengkap, ketinggalan zaman atau menyerupai kandungan lain. Anda mesti menyemak dan membetulkannya sebelum digunakan, dan anda bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang anda terbitkan atau hantar, termasuk dakwaan, harga dan pematuhan undang-undang.
  • Kami tidak menjamin Hasil AI adalah unik, bebas daripada hak pihak lain atau boleh didaftarkan sebagai harta intelek. Setakat yang dibenarkan undang-undang dan antara anda dan kami, anda boleh menggunakan Hasil AI untuk perniagaan anda.
  • Jangan masukkan data peribadi orang lain ke dalam ciri AI melainkan anda dibenarkan dari segi undang-undang. Funnava menyamarkan nama, nombor telefon dan emel pelanggan sebelum dihantar untuk sesetengah ciri, seperti dinyatakan dalam Notis Privasi.
  • Gambar, suara dan video yang dijana AI tidak boleh digunakan untuk meniru orang sebenar (deepfake), mengelirukan pembeli atau menunjukkan hasil produk yang tidak benar.
  • Ciri AI menggunakan kredit. Kredit ditolak apabila sesuatu tindakan dijalankan, termasuk apabila hasilnya tidak memuaskan anda. Kredit yang ditahan bagi tindakan yang gagal di pihak kami dilepaskan semula.
  • Kunci AI sendiri (pakej yang layak sahaja): jika peniaga menyimpan kunci API penyedia AI miliknya sendiri, permintaan AI perniagaan itu dibuat menggunakan kunci tersebut dan dibilkan oleh penyedia AI terus kepada peniaga di bawah perjanjian peniaga sendiri dengan penyedia itu; kredit Funnava tidak ditolak untuk permintaan tersebut. Peniaga bertanggungjawab atas kos, had dan syarat akaun penyedia AI miliknya. Jika kunci ditolak atau baki akaun penyedia habis, ciri AI dihentikan sehingga kunci dibetulkan atau dipadam.

10. Platform pihak ketiga dan akaun yang disambung

  • Funnava menerbitkan posting, membaca statistik dan menghantar mesej melalui API rasmi platform, hanya untuk akaun yang anda sambung sendiri. Anda mesti mematuhi terma dan dasar setiap platform, termasuk Terma Meta dan Dasar Komuniti, Terma Perkhidmatan TikTok, Syarat Perkhidmatan YouTube dan dasar Google.
  • Platform boleh menukar, mengehad atau menarik balik akses API, menolak atau membuang posting, mengehadkan capaian atau menggantung akaun anda. Funnava tidak mengawal platform dan tidak bertanggungjawab atas tindakan platform, larangan akaun, capaian, gangguan API atau perubahan data platform.
  • Had harian mungkin terpakai, contohnya kuota muat naik YouTube harian Funnava. Posting yang tidak dapat dihantar kerana had atau ralat platform akan dilaporkan sebagai gagal dan boleh dicuba semula.
  • Memadam posting dalam Funnava tidak memadamnya di platform. Anda perlu memadamnya di platform itu sendiri.
  • Data prestasi iklan Meta dibaca sahaja. Funnava tidak mencipta, mengubah atau membelanjakan wang iklan anda. Bajet iklan dibayar terus oleh peniaga kepada platform iklan, dan Funnava tidak memegang wang iklan.

11. Klip Video, Studio Video, bahan stok dan kit jenama

  • Klip Video memotong video panjang menjadi klip di dalam pelayar anda. Fail video asal kekal dalam peranti anda; hanya audio termampat dihantar dalam bahagian kecil kepada perkhidmatan transkripsi kami, dan audio itu tidak disimpan. Transkrip dan projek disimpan dalam akaun anda.
  • Anda hanya boleh memotong dan menerbitkan video yang anda miliki atau dibenarkan untuk digunakan. Sumber pihak ketiga seperti podcast atau video kreator lain memerlukan kebenaran pemiliknya; menyatakan nama sumber sahaja tidak mencukupi.
  • Studio Video, poster dan gambar AI dihasilkan daripada bahan, gambar produk dan arahan yang anda beri, dan disimpan dalam akaun anda. Pastikan setiap gambar, muzik dan suara yang anda masukkan boleh digunakan secara sah untuk tujuan komersial.
  • B-roll automatik mencari video dan gambar stok daripada perpustakaan stok pihak ketiga. Setiap fail tertakluk kepada lesen perpustakaan itu. Funnava tidak menjamin bahawa bahan stok sesuai untuk setiap kegunaan, dan anda bertanggungjawab memastikan penggunaannya dibenarkan (contohnya tiada logo, jenama atau orang yang memerlukan kebenaran berasingan).
  • Logo dan bahan dalam kit jenama disimpan dalam folder awam supaya boleh dipaparkan dalam video. Jangan muat naik logo atau bahan yang anda tidak berhak gunakan.
  • Penapis perkataan sensitif dan semakan automatik membantu tetapi tidak lengkap. Anda tetap bertanggungjawab atas setiap klip yang anda terbitkan.

12. Laman awam, Kedai Mini, lead dan pelanggan anda

  • Laman funnel, Laman Bio, blog, Kedai Mini dan pautan temujanji anda adalah milik perniagaan anda. Anda bertanggungjawab atas tawaran, harga, stok, penghantaran, waranti, pemulangan dan layanan pelanggan, serta pematuhan Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perihal Dagangan 2011 dan peraturan perdagangan elektronik.
  • Tempahan Kedai Mini dan jualan di laman anda dibuat antara pelanggan dan perniagaan anda. Bayaran diuruskan terus dengan perniagaan. Funnava bukan penjual, bukan pihak kepada transaksi itu dan tidak memegang wang jualan.
  • Bagi data pelanggan dan lead anda, perniagaan anda menentukan tujuan penggunaannya, dan Funnava memproses data itu bagi pihak anda. Anda mesti mempunyai asas yang sah dan persetujuan yang diperlukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, memaklumkan pelanggan cara data mereka digunakan, dan menghormati permintaan berhenti atau padam data.
  • Ulasan mesti datang daripada pelanggan sebenar. Jangan menulis, membeli atau mengubah ulasan supaya mengelirukan.
  • Jika anda memasang pixel iklan pada laman anda, anda bertanggungjawab memaklumkan pelawat dan mendapatkan persetujuan yang diperlukan.

13. Asisten AI, WhatsApp dan Setiausaha Maya

  • Asisten AI membalas mesej WhatsApp dan emel bagi pihak perniagaan anda. Anda bertanggungjawab atas arahan, maklumat dan tawaran yang diberi kepada pembantu AI, dan atas balasan yang dihantar atas nama perniagaan anda. Pelanggan yang membalas BERHENTI tidak dihubungi lagi.
  • Setiausaha Maya ialah tambahan bulanan (atau termasuk dalam pakej yang dinyatakan di laman harga) yang membolehkan pembantu suara AI menempah temujanji ke dalam Google Calendar peniaga semasa panggilan, menghantar pengesahan dan peringatan kepada pelanggan, dan membuat panggilan kepada orang yang dimasukkan sendiri oleh peniaga (Panggil PIC). Tiada caj automatik; setiap bulan berjalan untuk tempoh yang dibayar, dan minit panggilan ditolak mengikut tempoh sebenar panggilan.
  • Peniaga hanya boleh meminta panggilan kepada orang yang telah bersetuju dihubungi, dan mesti mengesahkannya setiap kali. Peniaga bertanggungjawab atas persetujuan itu serta matlamat dan konteks yang diberikan kepada pembantu AI.
  • Setiap panggilan bermula dengan pembantu AI memperkenalkan diri sebagai pembantu AI bagi pihak perniagaan dan memaklumkan bahawa panggilan dirakam. Panggilan hanya dibuat antara 9 pagi dan 8 malam waktu Malaysia, dengan had panggilan harian bagi setiap perniagaan. Nombor dalam senarai jangan hubungi perniagaan, dan sesiapa yang meminta berhenti, tidak akan dipanggil lagi.
  • Temujanji dibuat bagi pihak peniaga, mengikut waktu bekerja dan kalendar yang ditetapkan oleh peniaga. Peniaga bertanggungjawab hadir atau memaklumkan pelanggan jika ada perubahan. Funnava tidak bertanggungjawab atas temujanji yang terlepas akibat gangguan perkhidmatan kalendar, telefoni atau rangkaian pihak ketiga.

14. Papan Bida (iklan ditaja)

  • Papan Bida memaparkan senarai perniagaan sebagai iklan berlabel "Ditaja". Setiap senarai aktif selama 30 hari dari bayaran pertama. Kedudukan ikut jumlah bida; tambah bida menaikkan kedudukan tetapi tidak memanjangkan tempoh.
  • Pengiklan bertanggungjawab atas ketepatan senarai (tajuk, ayat, gambar dan laman funnel yang dipautkan) dan atas barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan. Senarai tidak boleh mengelirukan, menyalahi undang-undang, melanggar hak orang lain atau merosakkan nama Funnava.
  • Funnava mempunyai budi bicara penuh untuk menolak, menyembunyikan atau membuang mana-mana senarai pada bila-bila masa, dengan sebab yang dimaklumkan kepada pengiklan. Senarai yang disembunyikan boleh dipulihkan dan tempohnya terus berjalan. Senarai yang dibuang tidak dipulihkan, dan nilai hari yang belum digunakan direkod untuk dipulangkan seperti dalam Polisi Pemulangan Wang.
  • Funnava tidak menjamin bilangan paparan, klik, lead atau jualan. Angka paparan dan klik ialah anggaran; trafik bot ditapis setakat yang munasabah tetapi tidak sempurna.
  • Funnava bukan pihak kepada apa-apa urusan antara pelawat dan perniagaan yang disenaraikan, dan tidak mengesahkan atau menyokong perniagaan tersebut.
  • Bida tanpa akaun: selepas bayaran, akaun Funnava dibuka untuk emel yang diberi, dan terma ini terpakai kepada akaun itu.

15. Kempen Klip dan Pasaran Kreator

  • Kempen Klip (klipper menyebarkan video jenama dari akaun media sosial sendiri dan dibayar mengikut tontonan yang disahkan) tertakluk kepada Terma Kempen Klip di funnava.my/kempen-klip/terma, yang terpakai bersama terma ini. Kempen hanya boleh dicipta oleh akaun Agensi dan perniagaan yang diuruskannya. Syarikat memegang bajet kempen bagi pihak peniaga sebagai pengendali pembayaran, membayar klipper mengikut tontonan yang disahkan selepas ditolak yuran klipper, dan memulangkan baki bajet seperti dinyatakan dalam Terma Kempen Klip.
  • Pasaran Kreator (misi UGC dan KOL) tidak lagi menerima misi baharu. Kerjasama dan rekod sedia ada kekal tertakluk kepada perkara di bawah.
  • Kreator dan klipper mesti berumur 18 tahun ke atas; tarikh lahir disemak semasa pendaftaran. Kempen dan kandungan tidak boleh menyasarkan atau menampilkan kanak-kanak bawah 18 tahun.
  • Setiap kandungan yang diberi ganjaran (wang atau produk percuma) mesti dilabel dengan jelas sebagai iklan, contohnya #iklan, #ad atau "Kerjasama berbayar dengan …", selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kod Kandungan Malaysia serta peraturan platform media sosial. Kreator bertanggungjawab meletakkan label; peniaga tidak boleh meluluskan hasil yang tidak berlabel.
  • Ulasan mesti jujur. Peniaga tidak boleh mewajibkan ulasan positif atau melarang pendapat negatif.
  • Giveaway mesti menyatakan hadiah, kelayakan, tempoh, cara pemenang dipilih dan sama ada pembelian diperlukan, serta penafian bahawa ia tidak ditaja atau dikaitkan dengan platform media sosial. Peniaga bertanggungjawab memastikan peraduan mematuhi undang-undang.
  • Pasaran Kreator: bayaran antara peniaga dan kreator dibuat terus antara mereka. Funnava bukan pihak kepada bayaran itu, tidak memegang atau memindahkan wang tersebut, tidak mengenakan yuran atau komisen ke atasnya, dan hanya merekod jumlah yang dipersetujui serta status yang ditanda oleh pengguna. Bilangan pengikut dinyatakan sendiri oleh kreator dan tidak disahkan oleh Funnava. Peniaga dan kreator bertanggungjawab atas perjanjian, kandungan, hak penggunaan, penghantaran produk dan bayaran antara mereka.
  • Kreator dan klipper ialah pihak bebas, bukan pekerja, ejen atau rakan kongsi Syarikat, dan bertanggungjawab atas cukai, zakat dan perisytiharan mereka sendiri. Funnava tidak menjamin pendapatan atau hasil kerjasama, dan boleh menyemak laporan, menggantung akaun, kempen atau kerjasama, serta membuang kandungan yang melanggar terma ini atau undang-undang.

16. Rakan Funnava (program rujukan)

  • Menyertai adalah percuma dan tidak memerlukan pembelian. Komisen hanya diperoleh daripada bayaran sebenar yang diterima daripada perniagaan yang dirujuk dengan sah, pada kadar yang dipaparkan di halaman Rakan.
  • Komisen baharu ditahan 14 hari sebelum boleh dibayar dan dibayar bulanan melalui pindahan bank ke akaun yang anda simpan. Menukar butiran bank menahan bayaran selama 7 hari untuk keselamatan.
  • Jika bayaran yang dirujuk dipulangkan, dicaj balik atau didapati menipu, komisen yang belum dibayar dibatalkan dan komisen yang telah dibayar boleh dituntut semula atau ditolak daripada komisen akan datang.
  • Rujukan sendiri (termasuk melalui emel, akaun bank atau orang yang sama) tidak layak dan ditanda untuk semakan. Jangan membuat spam, dakwaan palsu atau mengelirukan tentang Funnava (contohnya menjanjikan pendapatan), atau menyamar sebagai Funnava.
  • Agensi menerima bahagian daripada yuran jenama Funnava bagi Kempen Klip yang dibiayai oleh perniagaan klien yang diuruskannya, pada kadar yang dikunci semasa bil dibuka (kini 20%). Bahagian itu dibatalkan atau dituntut semula jika kempen ditolak sebelum dimulakan, atau bayarannya dipulangkan atau dicaj balik.
  • Rakan bertanggungjawab atas cukai ke atas komisen sendiri. Kami boleh menukar kadar dan peraturan program untuk masa hadapan dengan notis; komisen yang telah diperoleh tidak terjejas.

17. Harga, bayaran dan kredit

  • Pakej (Asas, Usahawan, Bisnes, Premium, Agensi), tambah nilai kredit, tambahan (contohnya akaun media sosial tambahan dan Setiausaha Maya), bida Papan Bida dan bajet Kempen Klip dibayar kepada Syarikat melalui gerbang pembayaran berlesen. Harga dalam Ringgit Malaysia (RM) dan merangkumi apa-apa cukai yang terpakai, kecuali jika cukai ditunjukkan secara berasingan sebelum anda membayar.
  • Tiada caj automatik; pakej dan tambahan berjalan untuk tempoh yang dibayar dan tidak diperbaharui tanpa bayaran anda. Naik taraf semasa pakej berjalan mengambil kira nilai masa berbayar yang belum digunakan. Turun taraf hanya boleh dibuat dalam 3 hari terakhir tempoh atau selepas ia tamat.
  • Kredit tambah nilai tidak luput. Kredit bulanan pakej diberi setiap bulan sepanjang tempoh aktif. Kredit tidak mempunyai nilai tunai, tidak boleh dipindah dan tidak boleh ditukar kepada wang kecuali seperti dalam Polisi Pemulangan Wang.
  • Akses hanya diaktifkan selepas gerbang pembayaran mengesahkan bayaran. Bayaran yang gagal atau belum disahkan tidak mengaktifkan apa-apa.
  • Jika anda membuat caj balik (chargeback) atau pertikaian bayaran tanpa menghubungi kami dahulu, kami boleh menggantung akaun atau ciri berkaitan sehingga perkara itu selesai, dan membatalkan kredit, tempoh pakej atau ganjaran yang diberi daripada bayaran tersebut.
  • Pemulangan wang hanya mengikut Polisi Pemulangan Wang. Kami boleh menukar harga untuk pembelian akan datang; harga yang telah anda bayar tidak berubah bagi tempoh itu.

18. Penggantungan dan penamatan

  • Kami boleh menggantung, menghadkan atau menamatkan akaun atau ciri, menyekat atau membuang kandungan, menghentikan kempen atau senarai, dan menahan bayaran keluar, serta-merta dan tanpa notis terlebih dahulu jika: anda melanggar terma ini; terdapat risiko undang-undang, keselamatan, penipuan atau kerugian kepada orang lain; bayaran tertunggak atau dicaj balik; atau pihak berkuasa, mahkamah atau platform memintanya. Jika sesuai, kami akan memaklumkan sebabnya.
  • Penamatan kerana pelanggaran tidak memberi hak kepada pemulangan wang bagi tempoh, kredit atau tambahan yang belum digunakan, kecuali jika undang-undang menghendakinya atau Polisi Pemulangan Wang menyatakan sebaliknya.
  • Anda boleh berhenti menggunakan Funnava pada bila-bila masa dan meminta pemadaman data seperti dalam Notis Privasi. Selepas penamatan, akses kepada kandungan berakhir; muat turun apa yang anda perlukan sebelum meminta pemadaman. Data dipadam dalam masa 30 hari daripada permintaan, kecuali rekod yang perlu disimpan mengikut undang-undang.
  • Bahagian terma ini yang sepatutnya kekal selepas penamatan (contohnya lesen bagi kandungan yang telah diterbitkan, bayaran tertunggak, tuntutan semula, penafian, had liabiliti, tanggung rugi dan undang-undang) terus berkuat kuasa.

19. Aduan hak cipta, fitnah dan privasi (notis dan penurunan)

  • Funnava ialah pembekal perkhidmatan yang mengehos dan menghantar kandungan atas arahan pengguna. Jika anda percaya kandungan di Funnava melanggar hak cipta anda (Akta Hak Cipta 1987, termasuk seksyen 43H dan 43I), memfitnah anda atau melanggar privasi anda, emel hello@funnava.my dengan tajuk "Notis penurunan".
  • Notis perlu mengandungi: nama dan butiran hubungan anda; karya atau hak yang dilanggar; pautan atau lokasi tepat kandungan itu; sebab anda percaya ia melanggar; akuan bahawa maklumat itu benar dan anda pemilik hak atau diberi kuasa olehnya; serta tandatangan (boleh secara elektronik).
  • Kami boleh menyekat atau membuang kandungan itu dan memaklumkan pengguna berkenaan. Pengguna boleh menghantar notis balas dengan sebab dan bukti hak; kami boleh memulihkan kandungan jika notis balas munasabah dan tiada tindakan mahkamah dimaklumkan kepada kami. Notis palsu atau berniat jahat boleh menyebabkan liabiliti kepada pengirimnya.
  • Akaun yang berulang kali melanggar hak orang lain akan ditamatkan.

20. Harta intelek Funnava dan maklum balas

  • Funnava, termasuk perisian, reka bentuk, templat, arahan AI (prompt), logo, nama dan kandungan laman kami, adalah milik Syarikat atau pemberi lesennya. Anda diberi hak terhad, tidak eksklusif dan tidak boleh dipindah untuk menggunakan Funnava mengikut terma ini, dan tiada hak lain diberi.
  • Anda boleh menggunakan templat dan reka bentuk Funnava dalam kandungan perniagaan anda sendiri yang dibuat melalui Funnava, tetapi tidak boleh menyalin atau menjualnya sebagai templat atau produk berasingan.
  • Jika anda memberi cadangan atau maklum balas, kami boleh menggunakannya tanpa sekatan atau bayaran kepada anda.

21. Kerahsiaan dan data peribadi

  • Data peribadi diuruskan mengikut Notis Privasi dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
  • Maklumat bukan awam yang anda terima tentang Funnava (contohnya ciri yang belum dilancarkan, harga khas atau butiran keselamatan) hendaklah dirahsiakan. Kami merahsiakan kandungan peribadi akaun anda kecuali seperti dinyatakan dalam terma ini, Notis Privasi atau dikehendaki undang-undang.
  • Kami tidak akan menyenaraikan nama atau logo perniagaan anda sebagai pelanggan dalam bahan pemasaran kami tanpa persetujuan anda.

22. Penafian

  • Funnava disediakan "seperti sedia ada" dan "seperti tersedia". Kami berusaha memastikan ia tersedia dan selamat, tetapi tidak menjamin ia bebas gangguan, ralat atau kehilangan data.
  • Kami tidak menjamin jualan, lead, tontonan, klik, pengikut, pendapatan, kedudukan carian atau hasil perniagaan. Contoh dan anggaran hanyalah contoh.
  • Funnava bukan nasihat kewangan, pelaburan, undang-undang, cukai atau perubatan. Dapatkan nasihat profesional untuk perkara tersebut.

23. Had liabiliti

  • Setakat yang dibenarkan undang-undang, Syarikat tidak bertanggungjawab atas kerugian tidak langsung, khas atau berbangkit, kehilangan keuntungan, hasil, jualan, muhibah atau peluang, kehilangan atau kerosakan data, atau kerugian akibat tindakan atau gangguan Platform Pihak Ketiga, gerbang pembayaran, penyedia telefoni atau rangkaian.
  • Jumlah liabiliti Syarikat bagi semua tuntutan berkaitan Funnava terhad kepada jumlah yang anda bayar kepada Syarikat bagi perkhidmatan berkenaan dalam tempoh 12 bulan sebelum tuntutan timbul. Bagi Kempen Klip, had dalam Terma Kempen Klip terpakai.
  • Tiada apa-apa dalam terma ini mengecualikan atau mengehadkan liabiliti yang tidak boleh dikecualikan di bawah undang-undang Malaysia, termasuk hak pengguna di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 jika akta itu terpakai kepada anda, atau liabiliti atas penipuan.

24. Tanggung rugi

Anda (termasuk agensi, pengiklan, kreator dan klipper) bersetuju menanggung rugi dan melindungi Syarikat, pengarah, pekerja dan rakan kongsinya daripada apa-apa tuntutan, kerugian, liabiliti, denda pihak berkuasa, penalti dan kos (termasuk kos guaman yang munasabah) yang timbul daripada: Kandungan Pengguna anda; pelanggaran terma ini atau undang-undang oleh anda; tuntutan pihak ketiga berkaitan kandungan, iklan, produk, perkhidmatan atau urusan anda dengan pelanggan; dan data peribadi yang anda kumpul atau gunakan.

25. Perubahan terma

  • Kami boleh mengemas kini terma ini. Bagi perubahan penting, kami memaklumkan anda melalui emel atau dalam aplikasi sekurang-kurangnya 14 hari sebelum ia berkuat kuasa, atau 7 hari jika perubahan itu diperlukan segera atas sebab undang-undang atau keselamatan.
  • Terus menggunakan Funnava selepas tarikh berkuat kuasa bermakna anda menerima versi baharu. Kami juga boleh meminta anda menanda persetujuan semula. Jika anda tidak bersetuju, berhenti menggunakan Funnava sebelum tarikh itu.
  • Versi yang dipaparkan di halaman ini ialah versi yang sah. Tempoh atau harga yang telah dibayar tidak berubah kerana kemas kini terma.

26. Undang-undang, pertikaian dan bahasa

  • Terma ini tertakluk kepada undang-undang Malaysia. Sebelum mengambil tindakan, kedua-dua pihak akan cuba menyelesaikan pertikaian dengan suci hati dalam masa 30 hari selepas notis bertulis kepada hello@funnava.my.
  • Jika tidak selesai, pertikaian dibawa ke mahkamah Kuala Lumpur, Malaysia, tanpa menjejaskan hak pengguna untuk membawa tuntutan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia atau badan lain yang dibenarkan undang-undang.
  • Terma ini disediakan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Jika terdapat percanggahan, versi Bahasa Malaysia diguna pakai.

27. Am

  • Terma ini, bersama dokumen yang dirujuk dalam bahagian 1, ialah keseluruhan perjanjian antara anda dan Syarikat berkenaan Funnava.
  • Jika mana-mana bahagian didapati tidak sah, bahagian lain kekal berkuat kuasa. Kegagalan kami menguatkuasakan sesuatu hak bukan penepian hak itu.
  • Anda tidak boleh memindahkan akaun atau hak di bawah terma ini tanpa kebenaran bertulis kami. Syarikat boleh memindahkan terma ini kepada syarikat berkaitan atau pengganti dalam penyusunan semula, penggabungan atau penjualan perniagaan.
  • Kami tidak bertanggungjawab atas kelewatan atau kegagalan akibat perkara di luar kawalan munasabah kami, termasuk bencana, wabak, gangguan internet, elektrik atau platform, serangan siber dan tindakan kerajaan.
  • Notis kepada anda dihantar ke emel akaun anda atau dipaparkan dalam aplikasi. Notis kepada kami dihantar ke hello@funnava.my.

28. Hubungi kami

Renoraz Ventures Sdn. Bhd. (No. Pendaftaran 202501031023 (1632435-U)), SA/06/23A, Persiaran Plaza Azalea, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor, Malaysia. Emel: hello@funnava.my. Telefon: +60 19-507 8005 / +60 15-882 4449.